S |
EJAK dua menjak ini kurasa langkahku sentiasa diperhatikan. Dimana sahaja aku berada kurasa ada seseorang yang memerhatikanku. Ah! Mungkin perasaanku sahaja. Aku harus menumpukan sepenuh perhatian kepada final exam yang akan berlangsung minggu depan.
“Fira, petang ni kita pergi library nak tak?” ajak Mira, rakan sebilikku. Kami juga mengambil kos yang sama.
“Boleh juga. Aku pun ada benda nak cari ni.” Terus aku bersetuju dengan cadangan Mira itu sementelaah juga aku mahu mencari buku rujukan untuk menyiapkan assignment yang diberikan oleh Dr. Roziana.
Kami berjalan kaki dari Fakulti Alam Bina ke perpustakaan. Sewaktu melalui Bengkel Fakulti Alam Bina, kulihat pelajar-pelajarnya sedang tekun menyiapkan projek mereka. Pelajar lelaki dan perempuan berkerjasama untuk menyiapkan projek.
Kami memilih meja yang agak hujung dan terselindung. Kelihatan perpustakaan hari ini lenggang. Hanya terdapat beberapa orang pelajar yang sedang mengulangkaji dan menaip sesuatu di komputer riba mereka. Tanpa membuang masa aku terus ke rak buku yang menempatkan buku Human Resource Management. Sedang aku ralit (leka) mencari buku, tiba-tiba aku terlanggar satu tubuh.
“Ops..sorry!” spontan ayat itu keluar dari mulutku. Terjatuh buku yang setebal 700 muka surat betul-betul di atas kakiku. Aduh! Terasa pedih kakiku. Mana taknya. Dah lah buku itu tebal ditambah lagi dengan covernya juga berkulit keras. Memang nasib lah.
Aku memandang manusia yang sedang tunduk mengutip bukuku yang terjatuh tadi. Kemudian, buku itu diserahkan kembali kepadaku. “Anti okey ke?” tanyanya sambil tersenyum.
“Saya okey. Terima kasih!” balasku lalu cepat-cepat aku beredar dari situ. Biarlah dia nak kata apa pun. Kuakui, tindakanku agak biadap tadi kerana meninggalkannya begitu sahaja.
“Kau ni kenapa? Jalan macam orang tak betul je,” sergah Mira sewaktu aku melangkah ke meja.
“Buku terhempap kat kaki aku. Dah lah berat. Nasib baik tak patah tulang kaki aku,” aduku. Tidak pula kunyatakan sebab munasabab buku itu terjatuh.
“Tu lah kau..careless sangat. Dapat tak buku yang kau cari tu?”
“Ada lah dua buah. Kau dah sudah ke? Kalau dah sudah kita balik lah. Aku rasa kaki aku ni macam dah bengkak je.”
“Ermmm..jomlah. Balik nanti kita singgah kat kafe kejap ya. Aku laparlah.”
“Okey!”
J |
AM sudah menunjukkan pukul 6.45 petang. Rasanya bas ke kolej aku sudah tiada lagi. Mungkin lepas Maghrib baru beroperasi balik. Terpaksalah aku menapak (berjalan) dari FAB (Fakulti Alam Bina) ke MSI (Masjid Sultan Ismail). Malasnya! Kenapalah time-time macam ni si Zul ni boleh jemput Mira keluar. Kalau tak, ada juga kawan. Lagipun salah aku juga, elok-elok si Zul tu pelawa aku join sekali, aku tolak. Konon tak nak kacau daun. Sekarang terima je lah akibatnya. Sedang aku berkira-kira hendak berjalan ke masjid tiba-tiba terdengar hon kereta dari belakang. Pantas aku menoleh.
“Anti nak balik kolej ke?” tanya empunya kereta dari dalam kereta. Err...mamat ni cakap dengan aku ke? Mestilah cakap dengan aku. Dah aku sorang je yang ada kat situ.
“Kenapa?” tanyaku pula. Soalan dijawab dengan soalan. Dia tergelak kecil. Entah apa yang lucunya dengan pertanyaanku.
“Ana boleh tolong hantarkan anti balik ke kolej anti. Tak salahkan kita nak tolong orang yang dalam kesusahan?” balasnya pula. Serba salah aku dibuatnya. Untungnya petang-petang macam ni ada orang yang nak tolong hantarkan. Tapi aku bukannya kenal dengan mamat ni. Buatnya di ‘kidnapped’nya aku tak ke naya.
“Anti jangan risau, ana tolong ikhlas. Lagipun jalan kita sehala. Ana pun nak balik ke kolej juga,” katanya lagi. Macam tahu-tahu je apa yang aku fikirkan. Akhirnya dengan berat hati, aku membuka pintu kereta di sebelahnya. Kedengaran alunan ayat-ayat Al-Quran sewaktu aku memboloskan diri ke dalam kereta. Kemasnya kereta mamat ni. Bau pun menyenangkan. Tergantung tasbih bersama disc ayat kursi. Dashboard di sudut kiri pula tertampal doa menaiki kenderaan.
“Anti duduk di kolej 13 kan?” Pertanyaan lelaki itu memecahkan kebisuan kami.
“Aaa...ya,” balasku. Ek! Macamana pulak mamat ni boleh tau? Rasanya aku belum ada kata apa-apa lagi. Lantaklah! Seingatku inilah pertama kali aku menaiki kenderaan dengan orang yang tidak kukenali. Dah tu seorang pulak tu. Kalau ada Mira tak apalah juga. Kupandang kad matrik yang tergantung bersama tasbih. Oh, namanya Muhammad Yusuf bin Abdul Rahman. Kos Kejuruteraan Awam.
“Rasanya anti sudah tahu nama ana,” tegurnya. Mungkin dia perasan aku memerhatikan kad matriknya tadi. Tiba-tiba aku berasa malu kerana tertangkap mencuri tengok kad matriknya.
“Terima kasih hantar saya balik,” ucapku sebaik aku keluar dari kereta.
“Afwan..ana balik dulu. Assalamualaikum,” balasnya sebelum beredar.
“Waalaikumsalam.”
*****************************************************************************
TAHUN ni Awal Ramadhan jatuh pada hari Rabu. Malam Selasa, kami beramai-ramai mengimarahkan surau kolej yang terletak di Dewan Seri Kencana. Esok semua umat Islam akan mula menunaikan ibadah puasa. Usai solat Tarawih, kami bertadarus.
“Esok kau nak pergi kafe tak?” tanya Mira.
“Malaslah aku! Confirm ramai lelaki. Aku sahur kat dalam bilik je. Kenapa? Kau nak keluar dengan Zul ke?” Mira diam.
“Iya lah ni. Aku tak kisah pun. Aku boleh sahur sorang-sorang. Kau pergilah dengan Zul,” sambungku lagi. Aku tidak mahu Mira berasa serba salah.
Jam di telefon bimbit Mira berbunyi. Kenapa Mira ni tak tutup jamnya bisinglah. Aku meraba-raba telefon Mira. Dengan pantas aku menutupnya. Awal giler minah ni kunci jam. Pukul 4.00 pagi. Bukankah afdal kita melewat-lewatkan bersahur? Alamak! Baru teringat minah ni ada janji dengan Zul. Dengan pantas aku mengejutkan Mira.
“Bangunlah. Kau kata nak pergi sahur dengan Zul kan?” Lecehnya nak kejut minah ni. Bukan senang-senang nak kejut dia. Aku bangun membuka ketiga-tiga lampu kalimantang. Biar minah ni terjaga. Aku memang tahu, ini satu-satu kelemahan minah ni. Tidur mesti gelap.
“Apa ni Fira! Aku mengantuklah,” jerit Mira.
“Amboi-amboi cik kak. Kau lupa ke yang kau ada date dengan cik abang pagi ni?”
Serta-merta Mira bangun dari tidur.
“Alamak! Dah pukul berapa ni? Aku lupalah.”
“Alaa..awal lagi. Dah pergi bersiap. Aku nak sambung tidur balik. Nanti pukul 5.00 jangan lupa kejut aku pula.”
Aku hanya mengelamun sementara menunggu air masak. Seperti tahun-tahun lepas. Hanya roti atau biskut bersama air milo menjadi santapanku ketika bersahur. Cuma kalau rajin sahaja aku akan merebus maggi. Sementara menunggu Solat Subuh aku membaca Al-Quran. Mira balik selepas aku usai menunaikan solat Subuh.
“Mengantuknya!” Mana taknya. Jam menunjukkan pukul 2 pagi baru kami tidur, tiba-tiba pukul 4 pagi dah nak bangun balik. Mestilah terkejut mata tu.
“Pergi solat dulu. Lepas tu kau nak tidur sampai tengahari pun tak pe.”
K |
AMI berasak-asak di Bazar Ramadhan petang itu. Ni yang aku malas ni. Kalau beli kat kafe je kan senang. Siap terus balik. Ni nak kena berasak-asak. Kalau tidak disebabkan Mira yang beria-ia ajak aku join sekali, alamatnya aku rela beli nasi di kafe sahaja. Aku masih belum membeli apa-apa. Kulihat kedua-dua tangan Zul sudah penuh dengan bungkusan plastik. Entah itu hanya makanan untuk Mira sahaja atau untuk Zul sekali.
“Fira, kau suka makan nasi kerabu kan? Kat sana ada gerai orang jual nasi kerabu. Kau nak tak?” tanya Mira sambil menuding jari ke arah gerai yang dimaksudkan. Okey juga. Dah lama rasanya aku tak makan nasi kerabu. Kami berjalan ke arah gerai tersebut.
“Bang, bagi nasi kerabu satu,” pintaku pada seorang lelaki yang kulihat sedang sibuk melayan pelanggan. Memang agak ramai pelanggan di gerai ini. Aku sendiri terselit-selit di celah mereka.
“Saudari nak lauk apa?” tanya lelaki itu. Agak terkejut aku kerana lelaki inilah yang menghantar aku tempoh hari.
“Awak berniaga kat sini?”
“Ana tolong kawan ana berniaga. Anti nak lauk apa?” tanyanya lagi sambil tersenyum. Pertama kali aku melihat wajahnya dekat. Wajah bersih itu betul-betul mendamaikan hatiku apabila tersenyum. Subhanallah! Sesuai sekali dengan namanya Muhammad Yusuf.
“Anti okey ke?” tanyanya.
“Err..maaf. Letak lauk daging je.” Aku memerhatikan dia melakukan kerja. Penuh tertib dan cermat. Selepas membungkus dia menghulurkan bungkusan tersebut kepadaku. Wang kertas bertukar tangan.
“Syukran..ana jual ya,” katanya sambil tersenyum. Terserlah lesung pipit di kedua-dua pipinya. Aku malu sendiri. Sepatutnya aku yang mengucapkan terima kasih. Aku hanya tersenyum membalas ucapannya.
“Lamanya kau pergi. Aku ingatkan kau pergi buat nasi kerabu tadi,” rungut Mira sebaik sahaja aku mendapatkannya. Aku hanya tersengih.
P |
EPERIKSAAN akhir sudah berakhir. Aku akan pulang ke kampung esok patang. Manakala Mira pula akan pulang pagi. Seperti biasa, Mira akan dihantar oleh Zul ke Hentian Sri Putri.
Aku duduk menunggu bas untuk ke FAB. Dari FAB aku akan mengambil teksi untuk ke Hentian Sri Putri. Ada juga lah dua, tiga orang pelajar sedang menunggu di situ. Tiba-tiba sebuah kereta berhenti di hadapan kami. Aku buat tidak endah. Mungkin dia mahu menjemput kawannya, fikirku.
“Anti nak pergi mana?” laung satu suara. Aku kenal suara itu. Yusuf! Apa pula yang mamat ni buat kat sini? Inikan kolej perempuan.
“Awak buat apa kat sini?” tanyaku pula. Dia tergelak kecil mendengar pertanyaanku.
“Anti ni suka menjawab pertanyaan dengan pertanyaan ya,” ujarnya. Termalu aku seketika. Ya tak ya juga. Patutnya aku menjawab, bukannya bertanya.
“Err...saya nak ke FAB,” jawabku. “Naiklah, ana hantarkan,” pelawanya sambil membuka pintu kereta dari dalam. Teragak-agak aku hendak menaiki keretanya.
“Anti nak balik ke mana ni?” Yusuf bertanya sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam kereta.
“Saya nak balik Seremban.”
“Oh..dah habis paper ya?”
“Ya..awak pula?”
“Ana pun dah habis juga. Saja lepak dengan kawan-kawan dekat kolej.”
“Eh, berhenti kat sini jelah,” kataku apabila tiada tanda-tanda dia mahu memberhentikan kereta apabila kami sampai di FAB. Mungkin dia terlupa.
“Tak pe..ana hantar sampai ke Sri Putri. Bas anti pukul berapa?”
“Pukul 3.30..terasa saya menyusahkan awak pula,” luahku. Sebenarnya aku kurang senang dengan sikap baik hatinya ini. Kami baru sahaja kenal. Dah tu jumpa pun bila terserempak. Kukira dia pun tidak pernah tahu namaku kerana selalunya dia akan memanggilku ‘anti’.
“Ana ikhlas nak tolong anti. Tadi pun ana baru hantar seorang student kat kolej anti. Tak sangka pula terjumpa anti. Agaknya kita ni berjodoh,” balasnya. Aku agak terkedu dengan ayat akhir Yusuf itu. Berjodoh? Apa maksudnya?
“Maaf kalau ana buat anti tak selesa. Maksud ana, Allah memang dah menggerakkan hati ana hendak menolong kaum wanita ni. Selagi ana mampu insyallah ana akan tolong tak kiralah sesiapa pun,” terang Yusuf. Mungkin dia menyedari riak tidak selesa di wajahku. Kami sampai di Hentian Sri Putri jam 3.15. Kukira dia akan berlalu pergi selepas menghantarku. Tetapi melihatkan dia sibuk mencari parking, rasanya dia juga mahu turun sekali. Tapi untuk apa?
“Ana tak senang hati tengok anti tunggu bas sorang-sorang. Ana temankan sampai bas anti datang ya,” katanya. Aku hanya mengangguk. Tak kanlah aku hendak menghalaunya pulang. Banyak budi yang telah ditaburkan padaku. Tak terbalas rasanya. Kami berbual-bual berkisarkan pelajaran, aktiviti dan peristiwa-peristiwa di universiti. Langsung tidak menyentuh hal-hal peribadi. Aku begitu mengagumi peribadinya. Tutur katanya teratur. Penuh berhemah. Penampilannya juga kemas dan ringkas. Juntaian rambut di dahinya kupandang. Mungkin ini penyumbang kepada wajahnya yang kacak disertai dengan peribadi yang mulia. Kesimpulannya, aku senang bersamanya.
“Nampaknya bas anti dah sampai. Hati-hati balik nanti. Assalamualaikum,” pesannya sewaktu aku melangkah menuju ke arah bas Plusliner. Aku hanya menjawab salamnya di dalam hati. Nasib baik penumpang tidak ramai. Aku memilih untuk duduk di tepi tingkap. Aku menyelak langsir. Kulihat, Yusuf masih berdiri di tempat tadi. Dia hanya melemparkan senyuman kepadaku sebelum akhirnya bas bergerak meninggalkannya.
**********************************************************************
M |
INGGU pertama berada di rumah, aku tidak mampu menipu hatiku yang aku mula merindui Yusuf. Dia sentiasa ada ketika aku berseorangan. Pernah aku terserempak dengannya sewaktu aku mengulangkaji pelajaran seorang diri di perpustakaan. Ketika itu, Mira keluar bersama Zul jadi aku pergi seorang diri ke perpustakaan. Aku hanya memandangnya dari jauh. Tidak tahu sama ada dia perasan kehadiranku atau tidak. Ketika itu dia begitu ralit (leka) menulis sesuatu.
Kali kedua pula aku terpandang dia sedang berbual dengan temannya yang berbangsa Iran di depan masjid. Ketika itu aku dalam perjalanan ke SUB (Student Unions Building) untuk pulang ke kolej. Semuanya ketika aku berseorangan. Pelik juga. Ketika aku bersama Mira, tidak pernah pula aku berjumpa dengannya. Ah! Mungkin itu hanyalah kebetulan.
Kali kedua pula aku terpandang dia sedang berbual dengan temannya yang berbangsa Iran di depan masjid. Ketika itu aku dalam perjalanan ke SUB (Student Unions Building) untuk pulang ke kolej. Semuanya ketika aku berseorangan. Pelik juga. Ketika aku bersama Mira, tidak pernah pula aku berjumpa dengannya. Ah! Mungkin itu hanyalah kebetulan.
Cuti kali ini aku membantu Kak Sarah menguruskan tadika yang dibukanya 2 tahun lepas. Kebetulan seorang guru tadika sedang cuti bersalin, jadi Kak Sarah mengupah aku untuk menjadi guru sementara. Nasib baiklah aku suka kanak-kanak ditambah pula kerana aku sudah mempunyai dua orang anak buah, jadi mudah untuk aku mengajar mereka.
“Cikgu, Faiz tarik rambut Yaya!” adu seorang kanak-kanak kepadaku sambil menunjuk ke arah temannya yang bernama Faiz tadi. Mukanya menunjukkan dia akan menangis pada bila-bila masa sahaja. Aku pantas mendapatkannya. Di hujung sana Faiz kelihatan takut. Mungkin dia bimbang andai aku memarahinya.
“Mari sini sayang,” panggilku kepada Faiz. Takut-takut dia mendekatiku.
“Kenapa Faiz tarik rambut Yaya?” tanyaku lembut kepada Faiz. Umur kanak-kanak sebegini kita tidak boleh berkasar. Pendekatan yang baik perlu digunakan untuk mengalakkan mereka bercakap.
“Faiz tak tarik rambut Yaya. Faiz nak pegang je. Tiba-tiba dia lari,” jawab Faiz.
“Dengar tu sayang. Faiz kata rambut Yaya cantik. Dia nak pegang je. Boleh kan sayang?” Kulihat Yaya hanya menganggukkan kepala.
“Okey, sekarang cikgu nak Yaya dengan Faiz minta maaf balik. Kita tak boleh gaduh-gaduh. Allah tak suka hambanya gaduh-gaduh.” Kedua-dua anak kecil itu menghulurkan tangan untuk bersalam. Sebenarnya tidak susah memujuk anak kecil. Mereka akan mudah terpujuk kalau kita menegur dengan lembut. Aku tersenyum apabila melihat mereka kembali berbaik semula.
Petangnya, sementara menunggu Kak Sarah berkemas, aku berdiri di depan pagar tadika melihat kanak-kanak pulang ke rumah dengan ibu bapa masing-masing.
“Kenapa Faiz tak balik lagi?” tanyaku kepada Faiz apabila mendapati hanya tinggal dia seorang yang masih belum pulang.
“Faiz tunggu Pak Ngah. Pak Ngah tak datang lagi,” jawab Faiz. Aku sendiri memanjang leher untuk melihat kalau-kalau Pak Ngah yang dimaksudkan oleh Faiz itu sudah sampai. Namun hampa. Tidak kelihatan mana-mana kenderaan yang datang untuk menjemput Faiz.
“Faiz masuk dulu ya sayang. Nanti cikgu call ibu Faiz,” pujukku. Baru sahaja aku mahu menutup pintu pagar, tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta. Seorang pemuda keluar dari kereta tersebut. Yusuf?
“Pak Ngah!” Faiz berlari-lari mendapatkan Pak Ngahnya. Selepas meletakkan beg Faiz ke dalam kereta Yusuf menghampiriku.
“Assalamualaikum..anti kerja kat sini ke?” tegur Yusuf.
“Ya.. saya tolong kakak ipar saya uruskan tadikanya. Tak tahu pula Faiz tu anak buah awak,” jawabku.
Dia hanya tersenyum. “Maaf, ana terlambat tadi. Jalan jammed.” Tanpa diminta dia memberitahu sebab kelewatannya. Aku hanya menganggukkan kepala.
Aku tidak menyangka akan bertemu Yusuf hari ini. Semuanya di luar kawalanku. Tidak sangka pula dia tinggal di satu kawasan perumahan yang sama dengan Kak Sarah. Sejak membantu Kak Sarah di tadika, aku tinggal di rumahnya yang terletak di Kuala Lumpur.
“Dah lama ke Fira kenal dengan budak tu?” tanya Kak Sarah sewaktu aku membantunya memasak di dapur. “Budak mana kak?” Aku berpura-pura tanya padahal aku tahu siapa yang dimaksudkan oleh Kak Sarah. “Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pula Fira ni,” usik Kak Sarah.
“Sebab tak tahulah Fira tanya akak,” dalihku lagi. “Alah, budak yang Fira jumpa kat tadika hari tu. Nampak baik budaknya. Bila lagi nak kenalkan kat umi dengan walid?” Ambik kau! Nampaknya Kak Sarah sudah salah anggap mengenai hubungan kami.
“Merepek jela akak ni. Dia tu kawan Fira kat U jelah. Bukan boyfriend Fira,” terangku. Aku tidak mahu Kak Sarah salah anggap mengenai hubungan kami. Tapi boleh dikategorikan sebagai kawan ke kalau terserempak pun dua tiga kali je? Ah! Hentam sahaja lah.
“Boleh percaya ke tu? Lain macam je akak tengok Fira sejak jumpa dengan dia hari tu. Asyik berangan je. Dah tu senyum sorang-sorang pulak tu. Kalau dah suka tu cakap jelah Fira. Akak pun berkenan juga dengan budak tu. Dah lah hensem, baik pula tu,” usik Kak Sarah lagi. Obvious sangat ke sikap aku berubah selepas jumpa dengan Yusuf hari tu?
“Akak ni pandai-pandai je. Fira tak kata apa-apa pun akak pula yang lebih.” Nampaknya aku kena lebih berhati-hati dengan Kak Sarah lepas ni. Malulah kalau Kak Sarah tahu apa yang ada dalam hatiku. Tapi memang tidak kunafikan aku sudah mula menyukai Yusuf. Aku takut hanya aku yang bertepuk sebelah tangan memandangkan Yusuf tidak menunjukkan yang dia juga mempunyai perasaan yang sama sepertiku. Tidak kunafikan dia melayanku dengan baik, tapi itu bukanlah tiket untuk membuktikan dia menyukaiku sementelaah lagi memang sikapnya akan melayan wanita dengan hormat. Aku melihat dia betul-betul menyanjungi insan yang bergelar wanita. Beruntungnya wanita yang melahirkan Muhammad Yusuf bin Abdul Rahman.
“S |
EJAK Angah balik bercuti ni, umi tengok macam orang tak betul je. Macam orang angau pun ya juga. Boleh umi tahu sebabnya?” tegur Hajah Khalida suatu malam. Ketika itu Yusuf sedang baring berbantalkan paha Hajah Khalida. “Mana ada apa-apa lah umi. Umi salah pandang kot,” jawab Yusuf.
“Jangan ingat Angah duduk kat JB tu umi tak tahu apa-apa pasal Angah. Semuanya dalam poket umi tau.”
“Ya ke? Meh Angah nak tengok apa yang ada dalam poket umi tu,” gurau Yusuf. Sebenarnya dia faham apa yang dimaksudkan oleh umi. Tapi tak akan dia mahu membocorkan rahsia hatinya walaupun dia sudah yakin dengan kata hatinya. Kalau boleh biarlah dia habiskan belajarnya dulu sebelum memikirkan soal hati. Dia tidak mahu menyusahkan uminya. Hanya pada dia sahaja tempat uminya melepaskan rindu selepas abi meninggal dunia dua tahun lepas. Kak Zura pula sudah berkeluarga dan tinggal bersama suaminya. Bukankah sudah menjadi kewajibannya sebagai anak lelaki menjaga kebajikan ahli keluarganya.
“Siapa orangnya?” serkap Hajah Khalida lagi. Dia yakin anak bujangnya ini sudah dilamun cinta. Bukannya dia tidak pernah muda dulu. Sikap lemah-lembut suaminya yang memikat hatinya untuk menjadi suri di hati suaminya sehinggalah suaminya meninggal dua tahun lepas.
“Apa ciri-ciri menantu yang umi suka?” tanya Yusuf pula.
“Ermm..orangnya baik, pandai jaga hati anak umi ni dan hormatkan orang tua.”
“Kalau dia tak cantik, and then kalau tak tahu masak?” duga Yusuf.
“Cantik tu sesuatu yang subjektif. Cukuplah sekadar sedap mata memandang. Kalau tak tahu memasak kan boleh belajar. Kak Zura dulu pun tak tahu memasak juga. Sekarang ni dah pro dah,” jawab Hajah Khalida. Nampaknya Yusuf sudah masuk ke perangkapnya.
“Bila nak kenalkan kat umi?” soal Hajah Khalida. Nampaknya dia sudah tidak boleh mengelak lagi. Umi bijak membaca hatinya.
“Dia tak kenal Angah lagi. Hanya Angah je yang kenal dia. Angah tak dapat bayangkan kalau dia tahu, Angah tahu semua pasal dia.” Maafkan saya Anis Safira! Mesti awak pelik saya tahu semua pasal awak. Tapi cinta boleh mengubah seseorang pengecut menjadi berani, miskin menjadi kaya, jahat menjadi alim. Saya hanya mampu berdoa semoga Allah menjodohkan kita.
A |
WAL semester bermula lagi. Mood untuk menelaah buku masih belum ada. Mira awal-awal pagi lagi sudah keluar bersama Zul. Tiba-tiba terdengar bunyi buzz dari yahoo messenger menandakan ada mesej masuk. Aku mengerakkan cursor ke arah lambang bulat berwarna kuning.
Abdullah> Wanita hiasan dunia. Seindah hiasan adalah wanita solehah. Oleh itu, peliharalah diri agar tidak tercemar oleh anasir-anasir negatif.
Hanya itu kata-kata yang terpapar di skrin dengan nama pengirim sekadar Abdullah. Aku buat tidak endah. Aku membaringkan diri di atas katil. Kebosanan menghimpit diriku. Tiba-tiba aku teringatkan umi. Pantas aku mendail nombor telefon umi.
“Assalamualaikum..” Kedengaran satu suara di hujung sana.
“Waalaikumsalam..umi sihat?”
“Alhamdulillah, umi dengan walid sihat. Fira pula macam mana?”
“Fira sihat umi. Rindulah kat umi.”
“Budak ni..dah besar pun nak rindu kat umi lagi. Belajar rajin-rajin,” nasihat umi. Aku hanya tersengih.
Aku tersenyum selepas habis bercakap dengan umi. Perutku berbunyi minta diisi. Baru aku teringat, aku masih belum makan tengahari lagi. Cepat-cepat aku bersiap lalu mencapai beg duitku di dalam laci meja. Aku hanya berjalan kaki ke kafe kolej. Sementara menunggu order, aku duduk di satu sudut yang agak jauh dari orang lain. Kulihat ramai juga yang sedang menjamu selera. Ada yang berseorangan, ada yang berpasangan dan ada juga yang datang beramai-ramai. Tiba-tiba mataku terarah kepada satu susuk tubuh. Yusuf! Walaupun mataku agak rabun tetapi aku masih boleh meneka susuk tubuh dan gayanya. Kulihat dia sedang berbual-bual dengan rakan-rakannya yang lain. Dia seperti tidak melihatku. Bukankah dia duduk betul-betul menghadapku? Ah! Kenapa aku terasa sakit hati. Dia bukannya kekasihku, jauh sekali suamiku. Selepas membayar harga makanan aku berlalu pergi tanpa menoleh ke arahnya lagi. Aku agak terasa hati dengan kelakuannya. Ya Allah, apakah semuanya ini?
Ya Allah, Andainya dia adalah jodoh yang ditetapkan oleh Mu kepadaku,
Maka, campaklah ke dalam hatiku cinta kepadanya adalah kerana Mu,
Dan campaklah kan ke dalam hatinya, cinta kepadaku adalah kerana Mu,
Namun, jika dia bukanlah jodoh yang ditetapkan oleh Mu kepadaku,
Berikanlah kekuatan kepadaku agar pasrah dalam mengharungi ujian yang Kau berikan kepadaku.
P |
EJAM celik sekejap sahaja kurasa, kami sudah berada di penghujung semester. Esok Abang Rizal akan menjemputku di kolej. Semester depan sekali lagi aku akan menerima junior baru. Semester depan juga aku akan berada di tahun akhir. Sejak kejadian dulu, aku tidak pernah lagi bertemu dengan Yusuf. Mungkin dia pun sibuk dan yang pastinya, aku sudah jarang keluar. Aku hanya keluar untuk ke kelas sahaja. Jarang aku ke kafe kecuali jika dibebelkan oleh Mira.
“Aku tak tahulah macam mana reaksi muka umi kau tengok badan kau ni. Dah macam tengkorak hidup aku tengok. Nasib baik aku duduk sebilik dengan kau. Kalau tidak, aku pun ingatkan kau ni zombie,” bebel Mira suatu petang. Aku tahu dia risau melihat keadaanku. Setiap kali itu jugalah aku hanya menghadiahkannya sengihan. Tak ada selera. Itulah alasan yang sering kugunakan.
Benar telahan Mira, kulihat Kak Sarah dan Abang Rizal terkejut beruk melihat keadaanku sewaktu menjemputku pulang.
“Kenapa boleh jadi macam ni Fira? Bekalan makanan terputus ke?” sempat lagi Abang Rizal membuat lawak. “Fira diet la bang,” jawabku sekadar untuk menjaga hati mereka.
“Fira tak payah diet lagilah. Dulu pun macam tiang elektrik. Ada hati nak diet lagi. Sekarang dah macam tengkorak hidup abang tengok. Tak cantik langsung!” Abang Rizal meluahkan pendapatnya. Aku perasan Kak Sarah mencubit lengan suaminya. Mestilah dia risau kata-kata Abang Rizal akan menguris hatiku.
“Balik ni Fira makanlah banyak-banyak,” putusku. Malas nak memanjangkan bicara. Sepanjang perjalanan dari Johor ke Seremban aku hanya mendiamkan diri sahaja.
Umi dan walid mengucap panjang melihat keadaanku ketika aku sampai lewat petang itu. Kak Sarah memberi isyarat supaya berdiam diri kepada umi dan walid. Aku meminta diri untuk berlalu ke dalam bilik.
Malam itu Umi masuk ke bilikku. Aku memberi ruang kepada umi untuk duduk di birai katil.
“Fira sihat?” Umi memulakan perbualannya.
“Mestilah Fira sihat. Kenapa umi?” soalku pura-pura ceria. Aku tidak mahu mengecilkan hati umi.
“Anak umi ni manis sangat. Patutlah ada orang tu dah sabar nak meminang anak umi ni,” kata umi. Serta-merta aku bangkit dari pembaringanku.
“Meminang? Apa maksud umi?” soalku bertalu-talu. Kulihat umi sedang menyusun ayat untuk menyambung percakapannya.
“Rasanya anak umi ni dah matang untuk jadi seorang isteri kan sayang? Umur Fira pun dah masuk 23 tahun. Tinggal lagi setahun Fira dah nak habis belajar. Jadi tak salah walid nak carikan seorang pelindung untuk Fira,” tutur umi dengan berhati-hati. Mestilah umi tidak mahu aku terkejut dengan kenyataan itu.
“Maksud umi?”
“Semalam ada orang tanyakan Fira. Tapi umi dengan walid belum beri keputusan lagi. Tapi umi berbesar hati kalau Fira terima pinangan ini.” Penuh psikologi umi berkata. Maksudnya umi mahu aku menerima pinangan ini. Pastilah umi dan walid sudah berkenan dengan empunya diri. Masakan tidak, biasanya umi dan walid agak cerewat dengan siapa aku berkawan. Nampaknya bukan calang-calang orang yang meminangku. Pastilah seseorang yang penuh ilmu di dada.
“Umi suka dengan lelaki tu?” tanyaku pula meminta pendapat umi. Baik kata umi, baik jugalah kataku. Mana ada ibu di dunia ini yang mahukan anaknya hidup susah.
“Umi betul-betul berkenan dengan dia ni. Baik, pandai ambil hati orang tua, banyak ilmu agama, latar belakang keluarga pun baik. Umi yakin dia boleh jadi suami yang baik untuk Fira,” ujar umi.
“Walid dengan abang dan akak macamana?”
“Diorang lagi suka. Abang dengan akak pun nampak macam mesra je dengan dia,” balas umi. Nampaknya aku sudah tidak dapat mengelak lagi. Sementelaah lagi satu kata sepakat sudah dicapai. Aku mencapai tangan umi. Sebelum memulakan bicara aku menarik nafas dalam untuk mengumpul kekuatan.
“Kalau ini yang terbaik untuk Fira, Fira redha umi. Fira tahu umi dan walid buat semua ini untuk kebaikan Fira. Doakan semoga Fira bahagia, umi.” Serentak dengan itu laju air mataku menitis di pipi. Umi terus memelukku erat. Nampaknya kita tidak dijodohkan untuk bersama. Saya redha walaupun tidak bersama awak, tapi saya tahu pilihan umi dan walid adalah yang terbaik untuk saya. Semoga awak mendapat jodoh yang baik dan sesuai untuk awak. Selamat tinggal Muhammad Yusuf!
M |
ENURUT Umi kami akan ditunangkan seminggu sebelum aku naik semester. Kami akan diikat selama 6 bulan. Menurut umi lagi, semua itu adalah permintaan bakal suamiku. Dia tidak mahu kami bertunang lama-lama kerana takut berlaku maksiat. Aku pelik kerana sehingga ke hari ini Umi langsung tidak menunjukkan gambar bakal suamiku kepadaku. Bakal suamiku juga langsung tidak pernah menghubungiku. Namun kudiamkan sahaja. Malas hendak memikirkannya. Aku perlu menyiapkan diri dan mental kerana tidak lama lagi aku akan bergelar tunangan orang. Maka corak hidupku juga akan berubah. Aku hanya membantu apa yang patut sahaja. Semua barang-barang hantaran Kak Sarah yang siapkan. Bilikku juga sudah dihias cantik untuk majlis bertunang yang akan diadakan esok. Mira yang sampai semalam menyatakan perasaan gembiranya.
Katanya, “Aku yang bercinta bagai nak rak, alih-alih kau yang kahwin dulu. Whatever pun, aku tumpang gembira.” Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata Mira.
Esoknya aku hanya disolek nipis oleh Kak Sarah sambil ditemani oleh Mira. Agak terharu aku kerana kesudian Mira menemaniku walaupun hanya untuk majlis pertunangan.
“Dah senyum sikit. Tak cantiklah buat muka macam tu,” usik Mira. Hatiku berdebar-debar apabila Mira memberi isyarat bahawa bakal ibu mertuaku hendak masuk ke dalam bilik. Aku tertunduk malu. Agaknya inilah yang dirasai oleh Kak Sarah sewaktu dia bertunang dengan Abang Rizal. Selepas bakal ibu mertuaku menyarungkan cincin ke jari manisku, aku mencium tangannya. Pantas dia menarikku ke dalam pelukannya. Aku terdengar dia berbisik sesuatu kepadaku.
“Cantik bakal menantu umi. Tak salah Angah memilih menantu untuk umi.” Selepas itu kami bergambar sebagai kenang-kenangan. Aku betul-betul bersyukur kerana bakal ibu mertuaku seorang wanita yang baik. Aku lebih terharu apabila umi boleh berbual mesra dengan bakal ibu mertuaku. Ketika itu, aku merasakan keputusan untuk menerima pinangan ini adalah tepat sekali. Tak apalah aku terpaksa mengorbankan perasaanku tapi aku berpuas hati dapat mengembirakan hati dua insan yang bergelar ibu ini.
S |
EPANJANG kami bergelar tunangan, tidak pernah sekalipun bakal suamiku menghubungiku. Menurut umi, bakal suamiku kini berada di luar negara atas urusan kerja. Kerana baru mengambil alih syarikat keluarga, maka dia agak sibuk. Dia juga akan hanya pulang seminggu sebelum kami diijabkabulkan. Aku pelik kerana sedikit pun aku tidak berasa risau jika bakal suamiku beralih-arah. Aku menjalani hidup sebagai pelajar seperti biasa. Cuma, aku lebih kerap pulang ke kampung untuk membantu menyiapkan persiapan majlis pernikahanku nanti. Aku sudah sedia maklum, yang kami tidak akan bersanding. Bakal suamiku tidak mahu bersanding kerana menurutnya, dia tidak mahu orang ramai menonton bakal isterinya. Namun begitu, umi masih menyiapkan sebuah mini pelamin untuk kami bergambar pada majlis perkahwinan aku nanti.
Aku perasan, semester ini, aku langsung tidak bertemu dengan Yusuf. Masih wujud lagikah dia di sini? Ya Allah, padamkanlah ingatanku terhadapnya. Tidak lama lagi aku akan menjadi isteri orang. Aku ingin menjadi isteri yang solehah. Isteri yang dicintai suami. Aku tidak mahu disebabkan ingatanku terhadap Yusuf menyebabkan perasaanku kepada bakal suamiku kelak hambar. Ya Allah, bantulah hamba Mu ini!
Tamat paper terakhirku, Abang Rizal datang bersama anak kembarnya, Erin dan Elida menjemputku di kolej. Kak Sarah tidak dapat ikut serta kerana membantu umi membuat persiapan terakhir. Hujung minggu ini majlis pernikahanku akan diadakan. Walid sendiri yang akan menikahkanku. Teringat kata-kata umi bahawa bakal suamiku akan pulang seminggu sebelum kami diijabkabulkan. Agaknya, mesti dia sudah berada di bumi Malaysia. Semakin berdebar-debar hatiku apabila memikirkan aku akan menjadi isteri kepada seorang yang tidak pernah kukenali waima namanya pun.
“Aku terima nikahnya ANIS SAFIRA BINTI SHARIFUDIN dengan mas kahwinnya RM 101.00 tunai!” Dengan sekali lafaz aku sah menjadi isterinya.Tidak dapat kubendung air mata yang mengalir di pipiku. Umi memelukku erat. Mestilah umi terharu kerana aku kini sudah menjadi hak orang lain. Lepas sudah tanggungjawab umi dan walid kepadaku. Selepas ini, aku akan menjadi tanggungjawab suamiku. Dialah yang akan memacu dan mencorakkan hidupku.
Hatiku terasa berdebar-debar. Jika tadi aku berdebar untuk dinikahkan tapi kini debarannya lebih hebat kerana ini adalah kali pertama aku akan berjumpa secara berdepan dengan suamiku. Mira memberi isyarat kepadaku ketika suamiku melangkah masuk ke dalam bilik tidurku yang telah dihias cantik. Aku hanya menundukkan kepala. Aku menghulurkan tangan untuk disarungkan cincin. Selepas menyarungkan cincin, aku mencium tangannya. Ketika itulah tergerak hatiku untuk melihat wajah suamiku. Mata bertentang mata. Seakan terkena renjatan elektrik, aku terpaku tidak terkata. Subhanallah! Bertapa kecilnya dunia ini. Muhammad Yusuf bin Abdul Rahman sedang berdiri segak di hadapanku dengan memakai baju sedondon denganku. Dia tersenyum sehingga jelas kelihatan lesung pipit di kedua-dua pipinya. Ketika itu, aku terasa hendak pitam. Mujur Mira menenangkanku. Bermacam-macam persoalan bermain di benakku. Jika tidak memikirkan majlis kami belum selesai, hendak sahaja aku menjerit meminta penjelasan daripada Yusuf. Aku hanya menyabarkan hati sehinggalah majlis kami selesai. Ramai juga rakan-rakanku yang hadir. Tidak ketinggalan juga rakan-rakan Yusuf. Namun melihat kemesraan antara Yusuf dan Zul menimbulkan curiga dalam hatiku. Nampaknya mereka seperti sudah kenal lama. Ketika Yusuf di ‘kidnapped’ oleh rakan-rakannya, aku pantas mendapatkan Mira. Persoalan yang bermain di dalam fikiranku mesti diselesaikan hari ini juga.
“Aku nak kau berterus-terang dengan aku. Selama ini apa yang kau tahu tentang aku dengan Yusuf?” soalku.
“Okeylah, aku surrender. Korang pun dah kahwin. Tak ada apa yang aku risaukan lagi. Yes, i’m admit, aku tahu kau berkawan dengan Yusuf walaupun kau tak pernah ceritakan dekat aku. Tapi aku tahu pun lambat, lepas kau balik kampung lepas kau lancarkan mogok dulu. Kalau aku tahu dari awal, aku tak kan biarkan kau berlapar sebab sakit hati dengan Yusuf,” akui Mira.
“Macamana pula kau boleh tahu?”
“Kau sendiri tengok tadi kan macamana rapatnya Yusuf dengan Zul. Diorang sepupu, Fira. Zul yang bagitahu aku lepas aku desak dia. Dia pun masa tu risau dengan keadaan Yusuf. Yusuf jatuh sakit bila kau elakkan diri dari dia. Tapi dia kuat semangat. Akhirnya dia putuskan untuk jumpa family kau bila umi dia dah restu dengan pilihan hati dia,” terang Mira panjang lebar. Aku cuba mengaitkan apa yang dikatakan oleh Mira tadi dengan ketiadaan Yusuf sepanjang semester lepas. Maknanya Yusuf sudah habis belajar? Patutlah, Yusuf tahu semua aktivitiku. Rupa-rupanya ada tukang pelapor. Malunya aku apabila mengenangkan itu semua.
“Assalamualaikum..” ucapan salam itu menambahkan debaran di dadaku. Perasaan sayang yang ada semakin bertambah kepadanya apabila mendengar cerita dari mulut Kak Sarah. Rupa-rupanya sudah lama Yusuf memerhatikanku. Dia sentiasa memerhatikanku ketika aku keseorangan untuk memastikan aku selamat. Kepada Kak Sarah juga dia meluahkan perasaan dan meminta supaya Kak Sarah menjadi perantara. Patutlah semuanya berada di dalam poketnya. Dia pun seolah-olah tidak kisah akan aku sepanjang kami bergelar tunangan.
“Waalaikumusalam...”jawabku perlahan. Yusuf mengatur langkah ke arahku. Dengan hanya berkain pelikat dan berbaju melayu, Yusuf tampak segak. Aku menjadi semakin mengelabah. “Sayang tunggu abang ya,” tegurnya lalu melabuhkan punggung di sebelahku. Sayang? Abang? Inilah kali pertama dia membahasakan dirinya dan diriku seperti itu.
“Err.... “ Aku kurang pasti hendak memanggilnya apa. Perasan kekok juga menyalar di dalam diriku.
“Terima kasih sayang kerana sudi menjadi isteri abang. Insyallah, abang akan cuba menjadi suami, anak dan ayah yang baik,” sambungnya lagi. Perlahan kedengaran suaranya namun cukup jelas di pendengaranku. Dengan keadaan malam yang yang sunyi ini ditambah lagi dengan cahaya yang suram meliputi bilik, suaranya kedengaran penuh romantis. Aduh! Adakah dia sedang cuba mengodaku?
“Saya pun harap abang mampu bimbing saya. Tegur jika saya lakukan kesilapan...” balasku. Sesungguhnya aku mengharapkan dia sebagai suamiku untuk membimbingku menjadi isteri yang solehah dan untuk menjadi pendampingnya di syurga kelak. Dia mencium ubun-ubunku. Sayup-sayup aku mendengar dia membaca sesuatu sebelum dia menarikku ke dalam pelukannya. Ya Allah, kau panjangkanlah jodoh kami dan peliharalah kami dari segala kejahatan dan juga dari syaitan yang direjam.
B |
ERGELAR seorang pelajar dan juga isteri dalam masa yang sama menuntut pengorbanan. Nasib baik ini merupakan semester akhirku. Aku dan Yusuf terpaksa tinggal berasingan. Aku di Johor Bahru, manakala Yusuf di Kuala Lumpur menguruskan syarikat abinya. Kali ini aku akan lebih kerap pulang ke rumah. Jika tidak Yusuf yang akan turun ke Johor Bahru untuk berjumpaku. Aku masih sebilik dengan Mira. Pada cuti pertengahan semester ini juga, Mira akan melangsungkan majlis pertunangannya bersama Zul.
Cukup sebulan kami mendirikan rumahtangga, aku disahkan mengandung 4 minggu. Tak sangka aku bunting pelamin. Perkhabaran itu kuberitahu kepada Yusuf. Bersyukur panjang Yusuf dengan berita gembira itu. Sempat dia mengusikku, “Wanita yang baik adalah mereka yang murah maharnya dan cepat pula mengandungnya.”
Alhamdulillah, aku tidak mengalami sebarang alahan atau morning sickness sepanjang awal kehamilanku. Hanya Yusuf sahaja yang demam selesema yang agak teruk selepas mengetahui aku hamil. Nampaknya morning sickness sudah berpindah kepada walidnya. Setiap malam Yusuf akan menelefonku sambil mengajarku beberapa potong doa untuk menjadi amalanku semasa tempoh mengandung. Yusuf juga mengalakkanku supaya mengamalkan surah Maryam, Luqman dan Surah Yusuf. Kadang-kadang dia akan membacakan untukku sehingga aku terlelap. Aku terasa benar-benar bahagia punyai suami sepertinya. Tempoh 9 bulan kurasakan kejap sahaja berlalu.
Tanggal 1 Syawal, aku selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 3.85 kg. Bayi lelaki itu kami namakan Muhammad Rayyan bin Muhammad Yusuf. Semoga akhlaknya seindah akhlak walidnya dan juga namanya. Amin....